Perbezaan Maksud Antara Sahabat, Kawan,
Rakan Dan Kenalan
Definisi
kawan dan sahabat kadangkala dianggap mengelirukan bagi sesetengah individu.
Berikut adalah definisi atau maksud bagi istilah sahabat, kawan, rakan dan
kenalan.
Sahabat
Sahabat adalah orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita,
tetapi tidak memiliki hubungan darah. Dalam erti kata lain, sahabat bukan
terdiri daripada adik-beradik tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip
hubungan persaudaraan antara adik-beradik. Sahabat adalah orang yang banyak
memberi manfaat dan kebaikan kepada kita, dan kita juga begitu.
Sahabat adalah seorang yang setiakawan, boleh membantu apabila kita berada di
dalam kesusahan, meredakan kesedihan ,menghilangkan kebimbangan dan sanggup
berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia
dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.
Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama dengan kita,
tetapi mereka akan sentiasa ada apabila kita memerlukannya. Sahabat adalah
orang yang membuatkan berasa selamat apabila mereka ada bersama-sama, sebab
mereka adalah orang yang sangat setiakawan. Sahabat adalah orang-orang yang
sangat menyayangi kita.
Sahabat kadangkala adalah penjaga, pelindung dan semangat mereka akan sentiasa
ada bersama kita.
Kawan
Kawan ialah seorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat,
hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biarpun bukan dari organisasi yang
sama. Kawan ialah orang yang selalu berinteraksi dengan kita dan mengenali
beberapa fakta peribadi mengenainya.
Kami selalu memiliki masa untuk bersama, bergembira, berseronok dan sebagainya.
Kawan biasanya terjadi apabila seseorang itu menemui individu yang lain, yang
memiliki persamaan seperti hobi, minat, sikap, tabiat dan pemikiran yang sama
dengan dirinya. Kita selalunya berasa seronok dan terhibur apabila berada
bersama-sama kawan .
Kawan mungkin boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan, tetapi mereka
selalunya tidak akan pergi lebih jauh daripada itu. Malah, sekiranya tidak
sependapat, hubungan kawan mungkin boleh terputus.
Rakan
Rakan ialah perantaraan antara kawan daan kenalan. Rakan ialah orang yang
berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, guru, kelas, matlamat dan sebagainya
dalam satu organisasi atau kumpulan seperti persatuan, kelab, syarikat,
pertubuhan dan sebagainya. Contohnya, ada rakan satu tingkatan, rakan satu
sekolah, rakan satu kelab dan sebagainya.
Rakan biasanya orang yang boleh mewujudkan kerjasama. Contohnya boleh belajar
bersama-sama dengan rakan sekelas, boleh membuat tugasan berkumpulan
bersama-sama rakan satu tingkatan, bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan
untuk menewaskan pihak lawan dalam pertandingan bola sepak, dan rakan-rakan
sekerja mengadakan mesyuarat untuk syarikat kami dan sebagainya.
Ada rakan yang rapat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, ada
pula rakan yang boleh dianggap sebagai kawan, dan ada pula rakan yang hanya
boleh dianggap sebagai kenalan.
Kenalan
Kenalan mungkin wujud sebagai rakan. Contohnya rakan chatting, rakan siber dan
rakan blogger. Apabila mengenali seseorang itu dalam bentuk atau identiti
tertentu, maka dia adalah kenalan. Kenalan adalah orang yang pernah
berinteraksi dengan kita tetapi tidak dapat mengesahkan identiti atau kewujudan
sebenarnya. Kita perlu berwaspada dengan kenalan-kenalan siber kerana, di luar
alam siber, mereka tidak semestinya orang yang sama seperti yang kita pernah
kenal di internet.
Kenalan boleh meluahkan perasaan mereka, masalah mereka kepada menerusi ruangan
komen, e-mel dan kemudahan-kemudahan interaksi yang lain di internet, tetapi
tidak 100% boleh dipercayai. Kenalan kadangkala wujud sebagai satu hiburan,
tetapi kadangkala tidak mustahil mereka boleh memberi kebaikan kepada menerusi
perkongsian pendapat, idea dan penyelesaian masalah.